KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 1,851 saman terhadap penunggang motosikal di seluruh negara kerana pelbagai kesalahan, dalam operasi khas sempena Tahun Baru Cina, malam semalam.
Pengarah Penguatkuasa JPJ, Jaafar Mohamed berkata, daripada lebih 2,000 motosikal yang diperiksa, 208 buah motosikal disita manakala 73 penunggang disahkan positif dadah.
Katanya, antara kesalahan dilakukan penunggang motosikal terbabit yang menyalahi Akta Pengangkutan Jalan 1987 ialah menunggang tanpa lesen memandu.
“Kesemua kesalahan itu dikesan bahagian penguatkuasa JPJ dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AAKD),” katanya.
Jaafar berkata, operasi itu dijalankan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina tahun ini, bagi mengatasi kemalangan jalan raya yang meningkat setiap musim perayaan.
Katanya, operasi melibatkan 989 anggota unit penguatkuasa jabatan itu di 37 lokasi di seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Jaafar berkata, sebanyak 921 motosikal diperiksa dan 100 penunggang disaman kerana pelbagai kesalahan di Kelantan.
Selain itu, katanya, operasi itu bertujuan mengelakkan adanya penunggang motosikal, termasuk ’mat rempit’ yang menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah.
Beliau berkata, operasi bersepadu besar-besaran itu bagi memastikan anak muda menunggang motosikal mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Ini berikutan kadar kemalangan melibatkan motosikal sebagai penyumbang utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya di seluruh negara setiap tahun,” katanya. – BERNAMA